Final Project

Assalamualaikum. Salam sejahtera. Salam 1 Malaysia kepada semua warga blogger. Kami pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, Semester 6, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sabak Bernam, Selangor telah menghasilkan blog ini sebagai "Final Project" kami. Kami ingin mendapatkan komen dan pandangan daripada anda semua tentang Bagan Nakhoda Omar yang tidak dikenali ramai supaya kawasan rekreasi ini lebih dikenali sebagai salah sebuah kawasan pelancongan di negeri Selangor. Diharapkan dengan maklumat yang kami berikan, kawasan rekreasi ini dapat menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Sunday, January 23, 2011

Kelong Paradise Waterfront Resort

 Pada entri yang lalu, sewaktu  memperkenalkan kawasan rekreasi BNO, kami bercerita tentang Kelong Paradise. Kali ini kami akan memberikan maklumat lanjut tentang tempat memancing yang menjadi sebutan kaki pancing tersebut.
Lebih kurang 20 minit perjalanan dari pekan Sabak Bernam, anda akan sampai ke pantai Bagan Nakhoda Omar. Di sinilah terdapat jeti untuk ke Kelong Paradise Waterfront Resort. 
Pejabat dan jeti Kelong Paradise Waterfront Resort di |BNO.
Pengalaman memancing di tengah lautan pasti akan meninggalkan kenangan yang sukar untuk dilupakan. Antara ikan yang selalunya dapat dipancing ialah kerapu, sembilang, pari, jenahak, bawal, jemuduk, gelama, senangin dan lain-lain lagi. Beberapa orang pemancing yang pernah memancing di kelong ini berkata bahawa waktu memancing yang sesuai ialah pada pukul 2.00 pagi hingga pukul 6.00 pagi. Pada waktu ini ikan dikatakan sangat aktif mencari makanan dan pastinya umpan para pemancing menjadi buruan. Pemancing juga dinasihatkan supaya memilih hari yang sesuai untuk ke jeti ini. Pada hari minggu dan cuti am, bilangan pemancing paling ramai berkunjung ke sini.



Pemandangan kelong nun di kejauhan.

Pemandangan di dalam kelong (1).




 Untuk maklumat lanjut, sila hubungi alamat dan nombor telefon berikut:
Suite 838, Level 8, Block A,
Lobby B, Kelana Centre Point,
No. 3, Jalan SS7/19,
Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya,
Selangor.
MALAYSIA


(+6) 017 264 5315
(+6) 012 655 7280
(+6) 013 271 9481

Friday, January 21, 2011

Kegunaan lain pokok bakau

Selain menjadi penyelamat hakisan pantai dan penghalang ribut taufan, pokok bakau mempunyai keistimewaan lain. Batang pokok yang kering digunakan untuk membuat arang. Batang pokok ini juga dijadikan cerucuk dalam bidang pembinaan. Di kawasan kuala, rumah yang dibina menganjur ke laut menggunakan kayu bakau sebagai tiang. Kayu bakau tahan lama dan tidak mudah reput walaupun dalam air masin. Bunga dan daun dijadikan bahan perubatan tradisional.
 Kayu pokok bakau digunakan untuk membuat arang.

Buah, bunga dan daun dijadikan bahan perubatan tradisional.

Kayu bakau digunakan sebagai tiang rumah di tepi laut
kerana ketahanannya dalam air masin.

Hutan Bakau di BNO

Jika anda ke BNO, pastinya anda dapat melihat rimbunan pokok bakau yang menghijau. Hutan paya bakau adalah sebahagian hutan Tropika yang terdapat di Malaysia. Hutan paya bakau banyak terdapat di negeri Perak, Johor, Pahang, Kedah dan Selangor.


Hutan paya bakau yang terdapat berhampiran kawasan rekreasi BNO.

Apakah kepentingan hutan paya bakau?
Hutan paya bakau sangat penting bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem alam. Pokok bakau mempunyai batang dan akar sokong yang kuat. Oleh itu, pokok bakau dapat mencegah pantai daripada hakisan dan dapat melindungi pesisiran pantai daripada banjir dan angin ribut.
Batang dan akar sokong yang kuat dapat melindungi pantai daripada hakisan.
Hutan paya bakau juga menjadi tempat pembiakan haiwan molaska seperti ketam dan udang, serta beberapa spesies ikan. Haiwan ini mencari makanan, bertelur dan menetas di kawasan hutan ini sebelum kembali ke laut.
Burung juga mencari makan dan membuat sarang di hutan bakau ini. Antara burung yang sering menghuni kawasan ini ialah burung helang merah, burung bangau dan pekaka.
Bangau dan haiwan molaska mencari makanan di hutan paya bakau.
Bagi manusia, pokok bakau mempunyai beberapa kegunaan. Batang pokok bakau dapat dijadikan kayu api, arang, kraf tangan dan perabot. Daun, buah dan biji benih bakau dapat dijadikan bahan perubatan tradisional.

Kayu bakau digunakan juga dalam kerja-kerja pembinaan. 

Thursday, January 20, 2011

Ikan Belacak di BNO

Ikan Belacak dikenali sebagai Ikan Tembakul atau Ikan Belodok, merupakan ahli subkeluarga Oxudercinae, dalam famili Gobiidae (Gobies). Ikan belacak merupakan ikan afimbia, disesuaikan secara unik bagi habitat muara pasang surut, berbeza dengan kebanyakan ikan di habitat sedemikian, yang hidup dengan air surut dengan bersembunyi di bawah rumpt laut basah atau dalam kolam pasang surut. Ikan belacak agak aktif semasa di luar air, makan dan berinteraksi sesama sendiri, contohnya mempertahankan kawasan mereka.
     Ikan Belacak hanya terdapat di kawasan tropika dan separa tropika, termasuk keseluruhan Lautan Hindi-Pasifik dan Lautan Atlantik di persisiran Afrika. Ikan belacak juga dijadikan bahan dalam pembuatan minyak urut dan ubatan tradisional dan dipercayai mempunyai khasiat dapat menyembuhkan beberapa jenis penyakit.
Ikan belacak.

Tuesday, January 18, 2011

Perjalanan ke BNO

Sewaktu perjalanan anda ke pantai BNO, anda dapat menyaksikan pemandangan cantik dan keindahan perkampungan tradisi yang dipenuhi dengan pokok kelapa dan tumbuhan hijau yang lain. Pemandangan begini pasti sahaja menyejukkan pandangan dan dapat mengembalikan nostalgia kehidupan di kampung bagi anda yang telah lama berhijrah ke bandar.
Pemandangan begini terdapat di sepanjang jalan menuju ke kawasan Rekreasi BNO.
 
Gerai makanan yang kendalikan oleh penduduk kampung menyajikan makanan
yang sedap dan menyelerakan.

Minuman "jus kedondong asam boi" memang sedap rasanya.

Monday, January 17, 2011

Runsing? Buntu? Rimas dengan masalah harian anda?? Kami ada tempat menarik untuk anda lepaskan tekanan harian!!

Bagan Nakhoda Omar, sebuah pekan kecil di Sabak Bernam terletak di barat laut negeri Selangor. Daerah ini merupakan sempadan negeri Selangor dengan Perak di utara yang disempadani oleh Sungai Bernam. Asal nama Sabak Bernam pula dipercayai daripada perkataan “Sahabat Berenam”. Mereka merupakan bekas pembesar Aceh dan Sumatera yang berdagang ke Tanah Melayu dan menemui kuala sungai, lalu dinamakan Sungai Bernam.
Di pesisir laut Sabak Bernam terdapat sebuah pantai. Pantai ini telah dijadikan kawasan rekreasi yang dikenali dengan nama Pusat Rekreasi Bagan Nakhoda Omar (BNO). Pantai ini sangat sesuai untuk bersantai bersama-sama keluarga. Di sini terdapat kemudahan medan selera, kedai cenderamata, surau dan wakaf berteduh. 
  

 Medan selera, kedai cenderamata
dan surau disediakan di sini.

Bahagian dalam surau BNO.

Disediakan juga beberapa buah wakaf
untuk berteduh.


Bagi kaki pancing, di sinilah tempat permulaan untuk berlepas ke sebuah kelong di tengah laut. Rasailah tiupan angin segar sambil menikmati makanan yang dijual di medan selera yang disediakan di situ. Pengunjung pasti tidak dapat menahan selera sewaktu menyuap mi udang yang sungguh menyelerakan.
Kedudukan pantai BNO berhampiran kuala sungai dan perkampungan nelayan menjadikannya lebih istimewa daripada tempat rekreasi lain. Hasil laut dijual dengan harga murah. Tidak hairanlah jika sepinggan mi udang yang dipesan mengandungi banyak udang di dalamnya. Sambil menikmati sedap dan enaknya makanan, sesekali terdengar deruan enjin bot nelayan yang mudik dari kuala menuju ke lautan luas mencari rezeki.

Mi goreng udang yang dijual di sebuah gerai
di pantai BNO.


Mi udang, ABC dan segelas teh 'o' limau ais
sungguh menyelerakan.


Nelayan pulang dari menangkap ikan di lautan.

Di tebing kuala yang berhutan bakau, kelihatan sang bangau yang putih bersih tegak berdiri sambil memerhati dan menunggu mangsa. Belacak pula berlarian di tepian lalu terjun ke air berenang-renang.

Nun di kejauhan nampak berbalam kelong di tengah lautan. Anda boleh bermalam di kelong berkenaan dengan bayaran berpatutan. Dapatkan maklumat tentang pakej bayaran di pejabat kelong di Pusat Rekreasi BNO. Cerita yang dibawakan oleh pemancing yang pernah ke sana, memang berbaloi bermalam dan memancing ikan di tengah lautan. Hasil tangkapan memang lumayan. Ikan pari, kerapu, jenahak dan lain-lain tidak sabar-sabar menanti umpan yang dicampakkan.

Bangau berterbangan di kawasan pokok bakau
mencari habuan.

Jeti untuk ke Kelong.

 
Kelong Paradise Waterfront Resort.

Aktiviti menaiki speed boat di Kelong.

 Tepian pantai BNO.

Pantai BNO berlumpur. Tidak sesuai untuk mandi-manda.
Sebab itulah diletakkan batu-batu untuk
menghalang hakisan tebing.

Mujur juga ada batu-batu penahan ombak,
boleh duduk-duduk sambil menikmati
kesegaran udara Selat Melaka.

Pancang yang dipacak ini menjadi panduan
nelayan mengemudi bot ketika air surut.


Perjalanan ke Pusat Rekreasi BNO dari Kuala Lumpur melalui Kuala Selangor mengambil masa lebih kurang tiga jam. Tidak susah untuk sampai ke sini. Ikut sahaja papan tanda yang menunjukkan arah tanpa perlu risaukan tersesat laluan. Dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke BNO, nikmati pemandangan indah perkampungan tradisi dan kawasan persekitaran yang menghijau.
Anda boleh juga rehatkan minda dengan
bersiar-siar di pantai BNO.

Haa ... inilah antara tarikan utama di BNO
- sunset view.





Produk bio asli-power


produk bio asli adalah salah satu produk milikan bumiputera yang berasal dari daerah Sabak Bernam di negeri Selangor. Syarikat yang bertanggungjawab mengeluarkan produk-produk ini ialah Bio Asli Power. Produk utama syarikat ini adalah produk  minyak kelapa dara. Ingin mengetahui tentang produk-produk yang lain, sila lawati laman web Bio Asli ini: http://www.blogbioasli.com/atuque

Kampung Sekendi jajahan Bagan Nakhoda Omar

Kampung ini  mula dibuka pada tahun 1919 oleh sekumpulan pendatang dari Jawa, Sumatera dan Banjarmasin. kampung ini mempunyai keluasan sekitar 2 batu dan panjang 2 1/2 batu. di sebelah utaranya ialah Selat Melaka, sementara di sebelah selatan pula Kampung Batu 38, Kampung Pancang Bedena di sebelah barat dan Kampung Tebuk Jawa di sebelah timur.
oleh kerana kampung ini terletak berhampiran dengan Selat Melaka, sekumpulan pendatang tadi telah mudik melalui kuala yang terdapat di bahagian utara. di situlah mereka mendarat dan kemudiannya berkampung dengan melakukan kerja-kerja meneroka tanah seperti menebang dan membuka hutan. menangkap ikan juga merupakan sumber rezeki mereka.
dinamakan sekendi kerana kumpulan pendatang tersebut menemui sebiji balang air yang menyerupai kendi di kuala sungai dan menamakan kampung ini sekendi.