Final Project

Assalamualaikum. Salam sejahtera. Salam 1 Malaysia kepada semua warga blogger. Kami pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, Semester 6, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sabak Bernam, Selangor telah menghasilkan blog ini sebagai "Final Project" kami. Kami ingin mendapatkan komen dan pandangan daripada anda semua tentang Bagan Nakhoda Omar yang tidak dikenali ramai supaya kawasan rekreasi ini lebih dikenali sebagai salah sebuah kawasan pelancongan di negeri Selangor. Diharapkan dengan maklumat yang kami berikan, kawasan rekreasi ini dapat menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Monday, January 17, 2011

Runsing? Buntu? Rimas dengan masalah harian anda?? Kami ada tempat menarik untuk anda lepaskan tekanan harian!!

Bagan Nakhoda Omar, sebuah pekan kecil di Sabak Bernam terletak di barat laut negeri Selangor. Daerah ini merupakan sempadan negeri Selangor dengan Perak di utara yang disempadani oleh Sungai Bernam. Asal nama Sabak Bernam pula dipercayai daripada perkataan “Sahabat Berenam”. Mereka merupakan bekas pembesar Aceh dan Sumatera yang berdagang ke Tanah Melayu dan menemui kuala sungai, lalu dinamakan Sungai Bernam.
Di pesisir laut Sabak Bernam terdapat sebuah pantai. Pantai ini telah dijadikan kawasan rekreasi yang dikenali dengan nama Pusat Rekreasi Bagan Nakhoda Omar (BNO). Pantai ini sangat sesuai untuk bersantai bersama-sama keluarga. Di sini terdapat kemudahan medan selera, kedai cenderamata, surau dan wakaf berteduh. 
  

 Medan selera, kedai cenderamata
dan surau disediakan di sini.

Bahagian dalam surau BNO.

Disediakan juga beberapa buah wakaf
untuk berteduh.


Bagi kaki pancing, di sinilah tempat permulaan untuk berlepas ke sebuah kelong di tengah laut. Rasailah tiupan angin segar sambil menikmati makanan yang dijual di medan selera yang disediakan di situ. Pengunjung pasti tidak dapat menahan selera sewaktu menyuap mi udang yang sungguh menyelerakan.
Kedudukan pantai BNO berhampiran kuala sungai dan perkampungan nelayan menjadikannya lebih istimewa daripada tempat rekreasi lain. Hasil laut dijual dengan harga murah. Tidak hairanlah jika sepinggan mi udang yang dipesan mengandungi banyak udang di dalamnya. Sambil menikmati sedap dan enaknya makanan, sesekali terdengar deruan enjin bot nelayan yang mudik dari kuala menuju ke lautan luas mencari rezeki.

Mi goreng udang yang dijual di sebuah gerai
di pantai BNO.


Mi udang, ABC dan segelas teh 'o' limau ais
sungguh menyelerakan.


Nelayan pulang dari menangkap ikan di lautan.

Di tebing kuala yang berhutan bakau, kelihatan sang bangau yang putih bersih tegak berdiri sambil memerhati dan menunggu mangsa. Belacak pula berlarian di tepian lalu terjun ke air berenang-renang.

Nun di kejauhan nampak berbalam kelong di tengah lautan. Anda boleh bermalam di kelong berkenaan dengan bayaran berpatutan. Dapatkan maklumat tentang pakej bayaran di pejabat kelong di Pusat Rekreasi BNO. Cerita yang dibawakan oleh pemancing yang pernah ke sana, memang berbaloi bermalam dan memancing ikan di tengah lautan. Hasil tangkapan memang lumayan. Ikan pari, kerapu, jenahak dan lain-lain tidak sabar-sabar menanti umpan yang dicampakkan.

Bangau berterbangan di kawasan pokok bakau
mencari habuan.

Jeti untuk ke Kelong.

 
Kelong Paradise Waterfront Resort.

Aktiviti menaiki speed boat di Kelong.

 Tepian pantai BNO.

Pantai BNO berlumpur. Tidak sesuai untuk mandi-manda.
Sebab itulah diletakkan batu-batu untuk
menghalang hakisan tebing.

Mujur juga ada batu-batu penahan ombak,
boleh duduk-duduk sambil menikmati
kesegaran udara Selat Melaka.

Pancang yang dipacak ini menjadi panduan
nelayan mengemudi bot ketika air surut.


Perjalanan ke Pusat Rekreasi BNO dari Kuala Lumpur melalui Kuala Selangor mengambil masa lebih kurang tiga jam. Tidak susah untuk sampai ke sini. Ikut sahaja papan tanda yang menunjukkan arah tanpa perlu risaukan tersesat laluan. Dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke BNO, nikmati pemandangan indah perkampungan tradisi dan kawasan persekitaran yang menghijau.
Anda boleh juga rehatkan minda dengan
bersiar-siar di pantai BNO.

Haa ... inilah antara tarikan utama di BNO
- sunset view.





2 comments: